Kita kat dunia ni tak lama mana pun, sampai masa kita akan kembali kepada pencipta kita. Semua manusia berimpian, tak kira impiannya besar atau kecil, luar biasa mahupun yang biasa-biasa sahaja.Bergantung kepada perspektif individu memandang impiannya bagaimana.
Kata orang, berangan-angan itu percuma. Namun menggapainya bukanlah hanya bersandar di kerusi dan mengelamun sepanjang hari. Usaha ke arahnya bergantung apakah impian tersebut.
Sebagai seorang yang sedar dirinya hamba yang diciptakan untuk bukan sekadar hidup, setiap kita akan ada impiannya. Bagi makngah, impian paling tinggi adalah mendapat rahmatNya dari dunia hingga ke syurgaNya.
Jika melihat siapakah kita sekarang, setiap status sebagai hamba Allah, isteri, ibu dan anak-menantu kepada orang tua kita sudah semestinya impiannya menjadi seorang yang memberi manfaat kepada orang lain.
Dalam menyiapkan diri untuk menjadi seorang bermanfaat satu perkara asas adalah minta dari Yang Maha Esa kekuatan dan kudrat agar impian kita terlaksana.
Sebagai contoh, kita mahukan anak-anak yang soleh, pertama sekali kita harus kenal diri kita. Kita sedar kita tidak sebaik mana, maka dengan itu, kita sendiri mula untuk memperbaiki diri. Sebagai Muslim, cara memperbaiki diri kita adalah dengan solat. Ramai yang solat tetapi masih tidak dapat perbaiki diri, di manakah silapnya?
Bermula dengan niat, tanya diri kenapa kita solat, untuk apa dan adakah kita menghayati setiap bacaan dalam solat kita.
Tiada solat, jika tiada wudhu. Wudhu yang sempurna, insyaAllah solat kita berpotensi untuk sah dan perlahan-lahan ia boleh mengubah kita menjadi lebih baik dengan syarat kita berusaha untuk menghayati solat kita.
Segalanya perlukan ilmu, maka dekatkanlah diri dengan orang-orang yang benar ilmunya dan rajinkan diri untuk menghadiri majlis ilmu. Hanya dengan ilmu, ia menjadi panduan kita dalam usaha memperbaiki diri.
Apa pun impian kita jangan lupa, tiada daya dan kekuatan selain dari Allah swt. Semoga kita tidak mensia-siakan kehidupan yang singkat ini. Entah berapa tahun lagi rezeki oksigen untuk kita, maka buatlah sehabis baik apa sahaja yang kita kerjakan semampunya.
Moga kita sentiasa dalam keredhaanNya.
Biiznillah.
No comments:
Post a Comment